Headlines News :

      NOTIS UTAMA

        Blog yang memaparkan berita-berita yang menjadi sumber isu terkini - Reformis Jalanan

KATEGORI

PERHATIAN

Kami tidak terikat dengan mana-mana kefahaman pemikiran oleh itu kami akan siar apa sahaja bahan daripada mana-mana parti, pertubuhan atau individu.

Oleh itu anda boleh memberikan komen apa sahaja bahan yang disiarkan dan Insya-Allah komen anda tidak dipadam.

Tapi ingat komen berbentuk iklan akan dianggap sebagai spam.

Followers

Total Pageviews

Showing posts with label Agama. Show all posts
Showing posts with label Agama. Show all posts

Mematikan Telefon Bimbit Ketika Solat

Pergerakan dibenarkan kerana maslahah jaga khusyuk

SOLAT memerlukan tumpuan kerana apabila perhatian terganggu, ia mampu mengurangkan pahala solat. Sebab itu Islam amat menitik beratkan persoalan persediaan sebelum solat termasuk menetapkan hati yang tenang serta memakai pakaian bersih.Persediaan juga mengambil kira mengelak daripada perkara yang boleh mengganggu solat seperti kerap berlaku sekarang ini, bunyi deringan telefon bimbit. Perkara ini penting kerana bunyi deringan telefon itu boleh mengganggu solat kita serta jemaah lain.Deringan bunyi telefon terkadang menghasilkan lagu dan bunyi yang jelas mampu menghalang jemaah terus khusyuk ketika solat sedangkan khusyuk satu tuntutan penting dalam solat.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya beruntunglah orang yang beriman, iaitu orang yang khusyuk dalam solatnya.” (Surah al-Mukminun, ayat 1-2)
Nabi Muhammad SAW sendiri pernah menghalang sahabat memperdengarkan bacaan ayat suci al-Quran dengan nyaring ketika orang lain sedang solat.
Diriwayatkan daripada Abu Sa’id al-Khudri, Rasulullah SAW apabila pergi ke masjid untuk beriktikaf dan Baginda mendengar al-Quran dibaca secara kuat, Baginda berkata: “Setiap kamu bercakap secara rahsia dengan Allah, maka janganlah mengganggu yang lain atau meninggikan suara melebihi orang lain apabila membaca al-Quran (atau apabila bersolat).” (Hadis riwayat Abu Daud)
Berdasarkan hadis, jika al-Quran juga dilarang diperdengarkan kerana boleh mengganggu solat, apatah lagi bunyi deringan telefon. Sudah tentu dilarang dan sebab itu wajib bagi ingin menunaikan solat menutup telefon bimbit sebelum melakukan solat sama ada bersendirian atau berjemaah.
Namun persoalan berbangkit, bagaimana jika kita terlupa menutupnya sebelum bersolat dan telefon berdering. Adakah kita perlu menghentikan solat, menggerakkan anggota tubuh untuk mematikan telefon bimbit atau membiarkan saja telefon terus berdering.
Jawapan paling tepat di sini ialah mematikan telefon tanpa membatalkan solat. Maksudnya, orang yang sedang solat dibenarkan bergerak sedikit anggota badan lalu menutup telefon itu. Pergerakan ini dibenarkan dalam solat kerana maslahah menjaga khusyuk solat lebih besar daripada terus membiarkan telefon berbunyi sepanjang kita bersolat.
Persoalan ini termasuk dalam perbahasan hukum pergerakan dalam solat. Perbuatan tidak termasuk dalam perbuatan solat jika dilakukan dengan banyak maka ia terbatal tetapi jika dalam kuantiti sedikit membabitkan anggota kecil, maka dibolehkan.
Cuma di sini, ulama berselisih pandangan mengenai ukuran banyak atau sedikit. Dalam mazhab Syafie, jika dilakukan melebihi tiga kali dan secara berturutan maka ia membatalkan solat.
Namun bagi Imam an-Nawawi, ia turut mendatangkan contoh pergerakan yang sedikit seperti memberi isyarat ketika menjawab salam, melepaskan serban atau meletakkannya, menggosok lendir yang terlekat di baju dan lain-lain lagi.
Banyak juga keterangan hadis menceritakan pergerakan Nabi SAW dan sahabat ketika sedang solat kerana maslahah tertentu. Contohnya, pergerakan Nabi SAW memegang telinga Ibnu Abbas untuk memindahkannya daripada sebelah kiri ke sebelah kanan Baginda.
Pergerakan yang banyak ini sudah dijelaskan oleh Ibn Battal bahawa inilah maslahah digunakan Nabi SAW dalam memelihara solatnya daripada terganggu.
Begitu juga kisah Nabi SAW sendiri pernah solat dalam masjid sambil mendukung cucunya Umamah. Apabila rukuk, Baginda akan meletakkan cucunya di bawah dan apabila bangun, Baginda akan mendukung cucunya kembali.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Sebahagian cendekiawan Islam menolak dalil pergerakan Nabi SAW sebagai hujah untuk membolehkan kita mematikan telefon bimbit ketika solat kerana kata mereka ia khusus kepada Nabi SAW. Bahkan ada sebahagian mengatakan pergerakan dilakukan Nabi SAW itu boleh jadi tidak dilakukan secara berturut-turut melebihi tiga kali.
Namun, pendapat mereka masih tidak kukuh disebabkan ada juga sahabat melakukan pergerakan yang banyak apabila terdapat maslahah mendesak. Di samping itu, tiada jaminan Nabi SAW tidak bergerak melebihi tiga kali berturut.
Bahkan ia adalah perkara ijtihadiyyah Imam Syafie yang memang terkenal sebagai imam yang amat berhati-hati dan menjaga kesempurnaan solat. Ini suatu yang baik jika kita ingin mengambil pendekatan Imam Syafie.
Bagaimanapun, dalam kes mematikan telefon, ini keperluan mendesak. Ia boleh dikategorikan sebagai pergerakan yang wajib dilakukan ketika solat kerana larangan mengganggu jemaah lain yang sedang solat adalah wajib.
Oleh itu, perbuatan mematikan telefon dimasukkan dalam perbahasan yang sama seperti keharusan bergerak untuk membunuh binatang buas yang mengancam. Ia diqiyaskan kepada hadis Nabi SAW yang mengizinkan untuk membunuh binatang bisa kecil ketika solat.
Diriwayatkan: “Sesungguhnya Nabi SAW mengarahkan supaya membunuh dua binatang buas walaupun ketika solat iaitu kala jengking dan ular (jika ia menghampiri ketika solat).” (Hadis riwayat Ibn Majah).
Justeru, dapat difahami bahawa wajib bagi seseorang untuk mematikan bunyi telefon bimbitnya kerana ia merosakkan ketenangan orang yang sedang solat, seperti mana bahayanya kala jengking dan ular.
Namun pergerakan itu mestilah dibatasi supaya tidak terlalu melampau sehingga melambangkan seolah-olah tidak ada perbezaan antara orang yang melakukan solat dan orang belum mengerjakan solat.

Mengapa Doa Aku Tidak Dimakbulkan?

“Aku dah penat berdoa, tapi apa yang aku doa tetap tidak kunjung tiba pun”
“Bila doa aku nak dimakbulkan?”
“Allah dengar tak doa aku?”
“Allah tak sayang aku ke? Apa yang aku doa mesti tak dapat”
Pernahkan? Kita dengar ataupun kita sendiri mengatakan ayat sedemikian. Kita merasakan Allah tak sayang kita, kita anggap Allah tidak peduli dengan keadaan kita.
Kita memberi tanggapan bahawa Allah itu tidak mendengar apa yang kita pinta. Namun adakah pernah terlintas di fikiran kita di mana silapnya kita sehingga Allah tidak mengurniakan apa yang kita minta?
Ataupun adakah benar Allah tidak memakbulkan apa yang kita minta? Mungkin saja Allah ingin memberi yang lebih baik dari yang kita minta?
Mari kita sama-sama meneliti dan cuba menyelidiki mengapa doa-doa kita ini tidak dimakbulkan dan diterima oleh Allah.

#1- Allah Ingin Memberi Sesuatu Yang Lebih Baik

Sebagaimana firman Allah S.W.T yang bermaksud;
“Dan boleh jadi kamu membenci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah yang mengetahui semuanya itu sedang kamu tidak mengetahuinya”Surah Al-baqarah : 216
Kadang kita fikir Allah tidak memakbulkan apa yang kita minta. Padahal Allah tahu apa yang kita minta itu mungkin sahaja tidak baik untuk kita. Apa yang kita minta tidak sesuai dengan diri kita.
Apa yang kita rasakan dapat memberi kebahagiaan kepada kita, mungkin sahaja tidak. Allah lah yang lebih tahu apa yang lebih baik untuk kita.
Bukankah Allah yang menciptakan kita? Pastilah Allah yang mengetahui apa yang terbaik dan lebih baik untuk kita?
Di setiap saat yang kita jalani di dalam kehidupan kita sekarang, bukankah Allah mengaturnya secara baik dan sempurna?

#2- Kita Leka Dan Meremehkan Hak-Hak Allah

“Peliharalah Allah nescaya Allah akan memeliharamu, Peliharalah Allah nescaya engkau akan dapati Dia di hadapanmu, Apabila engkau meminta pertolongan, maka mintalah pertolongan dengan Allah.” Rwayat Al- Tirmizi, Hadis Hasan Sohih
Dalam riwayat selain imam Al- Tirmizi disebutkan;
“Peliharalah Allah, nescaya engkau akan dapatiNya di hadapan engkau. Kenalilah Allah ketika senang, nescaya Dia akan mengenalimu ketika susah. Ketahuilah behawa apa-apa yang ditakdirkan tidak menimpamu, ia tidak akan menimpamu. Dan apa-apa yang menimpamu bukannya ia tersilap menimpamu. Ketahuilah bahawa kemenangan itu ada bersama kesabaran, terlepas dari kesempitan itu ada bersamna kesusahan dan bersama kesusahan itu ada kemenangan”
Kita tidak peduli langsung tentang hak Allah, solat tidak dijaga, kehidupan harian kita dipenuhi dengan kelalaian dan kemaksiatan.
Lalu bagaimana mungkin kita sentiasa mengharapkan Allah sentiasa memberi tanpa kita sedikitpun membalasnya?

#3- Terlupa Mensyukuri Apa Yang Telah Allah Berikan

“Dan ingatlah ketika Tuhan kamu memberitahu : “ Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmat Ku kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabku amatlah keras”Surah Ibrahim :7
Cuba lihat diri kita dan sekeliling kehidupan kita? Bukankah sudah terlalu banyak yang Allah berikan? Bukankah sudah terlalu banyak sehingga kita tidak sempat pun untuk mensyukurinya? Allah memberi tanpa meminta sedikitpun bayaran.
Setiap hela nafas, rezeki, keluarga dan kehidupan yang selesa ini. Allah memberinya dengan sepenuh kasih sayang dan cintaNya kepada kita.
Mari kita bersyukur dengan apa yang telah Allah berikan dan dengan berkat kesyukuran kita ini, Allah akan menambahkan nikmatNya kepada kita dengan memakbulkan semua doa-doa kita.
Kita sudah mengetahui sebab-sebab doa kita tidak dimakbulkan, apa perkara yang menyebabkan doa-doa kita telah tertolak.
Apa kata sekarang kita ambil sedikit masa lagi untuk mengetahui bagaimana caranya untuk berdoa dengan betul dan menepati adab-adab berdoa sebagaimana yang dianjurkan di dalam Islam.

#4- Berdoa Dengan Bersungguh-Sungguh

Apabila kita berdoa, Kita mestilah berada di dalam keadaan bersungguh-sungguh. Ibarat orang ingin meminta sesuatu daripada kita, tetapi bersikap acuh tak acuh, jadi bagaimana reaksi dan respon kita sendiri?
Begitulah juga dengan Allah, Kita ingin meminta sesuatu daripadaNya tetapi tidak pun memberi kesungguhan di dalam meminta.
Jadi ubahlah cara kita berdoa, berdoalah dengan bersungguh-sungguh dan istiqamah. Jangan sesekali berputus asa di dalam berdoa. Berdoalah sehingga doa kita itu dimakbulkan.

#5- Berdoa Dengan Yakin Bahawa Doa Kita Akan Diterima

Kadang kita berdoa, tetapi kita berada di dalam keadaan ragu-ragu.
“Allah nak makbulkan ke doa aku ni”
Hilangkanlah segala keraguan di hati kita dengan menyerahkan sepenuh keyakinan dan kepercayaan kita kepada Allah.
Yakinlah bahawa Allah mendengar dan akan memberi sesuai dengan apa yang kita pinta. Sesekali usah merasa ragu dan sangsi dengan Allah.
Ketahuilah Allah sentiasa akan mengurniakan aoa yang terbaik buat hambaNya yang tercinta. Bukankah Allah itu sifatnya Maha Pengasih dan Penyayang?

#6- Banyakkan Memohon Ampun Kepada Allah

Diriwayatkan bahawa ketika terjadi musim kekeringan di masa zaman Umar al Khattab, beliau meminta Abbas berdoa. Ketika berdoa, Abbas mengatakan;
“Ya Allah, sesungguhnya tidaklah turun musibah dari langit kecuali kerana perbuatan dosa. Dan musibah ini tidak akan hilang kecuali dengan taubat”
Sesungguhnya Allah amat menyukai hambaNya yang sentiasa bertaubat kepadaNya. Bertaubat dan memohon ampun kepada Allah atas segala dosa yang dilakukan akan menyebabkan kita dicintai oleh Allah.
Apabila Allah mencintai hambaNya maka semakin mudahlah Allah akan memakbulkan segala permintaan dan doa-doanya.
Marilah sama-sama kita renungkan kesilapan kita dan cuba untuk menjalankan segala suruhan dan meninggalkan segala larangan Allah.
Jagalah hubungan kita dengan Allah dan sesama manusia. Semoga dengan segala kebaikan yang dilakukan Allah akan mempermudahkan segala perjalanan kehidupan kita dan menunaikan permintaan dan hasrat kita dengan memakbulkan doa-doa kita.

3 Kriteria Ahli Syurga Daripada Hadis Sahih


Indahnya kehidupan seorang Muslim sebenar, dia sentiasa menjaga urusan kehidupannya dalam setiap sudut. Dia sentiasa menghisab diri serta meneliti sudut mana lagi yang boleh diperbaiki. Riwayat-riwayat dari Nabi SAW datang sebagai penerang dan penyuluh jalan lalu orang-orang beriman mengambilnya sebagai panduan untuk hidup dengan lebih baik di dunia dan di akhirat sana.
Kali ini, mari kita lihat tiga syarat atau kriteria yang membolehkan seseorang untuk masuk syurga, InsyaAllah.
عَنْ ثَوْبَانَ مَوْلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ قَالَ مَنْ فَارَقَ الرُّوحُ الْجَسَدَ وَهُوَ بَرِيءٌ مِنْ ثَلَاثٍ دَخَلَ الْجَنَّةَ مِنْ الْكِبْرِ وَالْغُلُولِ وَالدَّيْنِ
Daripada Tsauban, bekas hamba Rasulullah SAW, dari Rasulullah SAW, bahawasanya baginda bersabda: “Barang siapa ketika ruhnya berpisah dengan jasad dan ia bebas dari tiga perkara maka ia akan masuk syurga, iaitu; sombong, ghulul (khianat) dan hutang.”(HR Ibnu Majah, No: 2403) Hadis ini dinilai sahih

#1- Bebas Dari Sifat Sombong

وَلَا تُصَعِّرْ خَدَّكَ لِلنَّاسِ وَلَا تَمْشِ فِي الْأَرْضِ مَرَحًا ۖ إِنَّ اللَّـهَ لَا يُحِبُّ كُلَّ مُخْتَالٍ فَخُورٍ
“Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri”(Surah Luqman, 13:18)
Sikap sombong adalah suatu sikap yang sangat halus dan kadang-kadang tidak terzahir pun pada riak wajah atau bahasa badan. Hanya tuan badan sendiri yang mengetahui.
Sayikh Salim al-Hilali berpandangan bahawa sikap sombong adalah memandang dirinya berada di atas kebenaran dan merasa lebih di atas orang lain. Orang yang sombong merasa dirinya sempurna dan memandang dirinya berada di atas orang lain. (Bahjatun Nadzirin, I/664) – Dipetik dari perkongsian di muslim.or.id
Maka, sentiasalah ucapkan istighfar apabila ada lintasan-lintasan yang tidak baik seperti ini. Setiap dari kita sama sahaja dalam pandangan Allah dan yang membezakan kita adalah taqwa.

#2- Bebas Dari Ghulul (Khianat)

Lawan bagi perkataan khianat adalah amanah. Al Imam Ibnu al Atsir rahimahullah berkata, amanah boleh diertikan dengan ketaatan, ibadah, titipan, kepercayaan, dan jaminan keamanan. Manakala Asy Syaikh al Mubarakfuri rahimahullah berkata,
“(Amanah) adalah segala sesuatu yang mewajibkan engkau untuk menunaikannya”.
Menurut asy Syaikh Masyhur bin Hasan Alu Salman –hafizhahullah pula, amanah adalah, kepercayaan orang berupa barang-barang titipan, dan perintah Allah berupa solat, puasa, zakat dan seumpamanya, menjaga kemaluan dari hal-hal haram, dan menjaga seluruh anggota tubuh dari segala perbuatan dosa.
Besar sebenarnya makna yang terkandung dalam perkataan amanah ini. Seorang Mukmin sejati akan sentiasa menjaga dirinya daripada terdedah dengan perkara-perkara ghulul (khianat).
Amanah datang bersama dengan tanggungjawab dan rasa percaya, iaitu rasa percaya kepada pihak yang diberi tanggungjawab dan juga nilai diri orang yang perlu menyempurnakan amanah dan tanggungjawab tersebut.

#3- Bebas Dari Hutang

Perihal hutang adalah perihal yang sangat berat. Ia bukan semata-mata urusan dunia, namun berkait dengan urusan akhirat. Apabila seseorang itu berhutang, maka ia telah mengambil hak orang lain. Lebih teruk lagi jika si penghutang tidak ada niat pun untuk membayar semula hutang tersebut, mereka akan dikira sebagai pencuri di akhirat nanti.
Dari Shuhaib Al Khoir, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,
أَيُّمَا رَجُلٍ يَدَيَّنُ دَيْنًا وَهُوَ مُجْمِعٌ أَنْ لاَ يُوَفِّيَهُ إِيَّاهُ لَقِىَ اللَّهَ سَارِقًا
“Siapa saja yang berhutang lalu berniat tidak mahu melunasinya, maka dia akan bertemu Allah (pada hari kiamat) dalam status sebagai pencuri.” (HR. Ibnu Majah no. 2410. Syaikh Al Albani mengatakan bahwa hadits ini hasan shohih)
Beratnya hal berhutang boleh kita lihat juga melalui hadis dibawah apabila ianya dibandingkan dengan dosa orang yang mati syahid.
Dari ‘Abdillah bin ‘Amr bin Al ‘Ash, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,
يُغْفَرُ لِلشَّهِيدِ كُلُّ ذَنْبٍ إِلاَّ الدَّيْنَ
“Semua dosa orang yang mati syahid akan diampuni kecuali hutang.”(HR. Muslim no. 1886) – Hadis Sahih
Tiga prasyarat ini adalah perkara yang senang disebut oleh bibir namun sukar sebenarnya untuk dijaga dan diuruskan. Berazamlah untuk memperbaikinya sedikit demi sedikit. Akhlak kadang-kadang perlu bermula dari latihan sebelum ianya menjadi tabiat dan amalan yang tertanam dalam diri.
Sumber:
Almanhaj.or.id

5 Penawar Buat Anda Merawat Pedihnya Menerima Musibah


Seorang lelaki meluahkan rasa sedih dan pedihnya apabila dia tidak jadi berkahwin kerana pengantin perempuan lari daripadanya. Baginya, dia sudah kehilangan separuh hati.


“Aku tak faham kenapa dia sanggup buat aku macam ni. Apa salah aku? Padahal aku dah bersusah-payah kumpulkan duit dan dah sedia nak pikul tanggungjawab. Aku malu nak jumpa dengan orang lain. Begitu juga dengan keluarga aku sendiri. Semua persiapan dah cukup lengkap. Kenapa? Kenapa harus ujian ni yang aku dapat?”

Pertamanya, ujian sebenarnya terbahagi kepada dua jenis. Pertama sekali, ujian berbentuk musibah dan yang kedua ialah ujian berbentuk kesenangan. Sebagaimana situasi di atas, hal tersebut berkaitan dengan musibah.

Ujian daripada Allah S.W.T yang berbentuk kesusahan yang ditimpakan ke atas golongan manusia ialah kemiskinan, kehilangan, kematian, kesakitan dan sebagainya.

Pada saat itu, Allah S.W.T sebaik-baik Penolong yang patut menjadi tempat mengadu segala masalah serta bakal membantu kita. Setiap daripada kita berbeza. Sesetengah orang perlu mengambil masa yang lama untuk menerima keadaan.

Namun, ada pula yang sekejap menerima hakikat tentang musibah itu. Jadi bagaimana ada yang terlalu cepat pulih dari musibah yang dialami oleh mereka?

Hadam dan amalkan kelima-lima penawar musibah dan penderitaan yang dinyatakan ini. Musibah adalah tanda cinta dan rindunya Allah S.W.T kepada kita. Dia teringin sekali mendengar rintihan kita. Yakinlah bahawa selepas setiap ujian pasti ada keindahan;
#1- Ibadah

Ibadah merupakan pengabdian. Kita ialah abdi dan Allah S.W.T ialah Pencipta kita. Erti ibadah ini terlampau luas.

Secara ringkas, semua hal seperti berjalan, makan, membaca dan sebagainya boleh dikira sebagai ibadah jika menuju ke arah kebaikan. Dalam hadis yang disebutkan, dari Abu Hurairah R.A, Nabi S.A.W bersabda;


“Sesungguhnya Allah Taala berfirman, “Hai anak Adam, luangkan waktu untuk beribadah kepada-Ku, nescaya Aku penuhi dadamu dengan kekayaan dan Aku penuhi keperluanmu. Kalau tidak, Aku penuhi tanganmu dengan kesibukan kerja dan tidak Aku penuhi keperluanmu.”Riwayat Tirmidzi dan Ibnu Majah

Hadis di atas menjelaskan bahawa Allah S.W.T menjanjikan dua hadiah kepada orang yang beribadah kepadaNya dan sebaliknya mengancam bagi yang tidak beribadah kepadaNya dengan memberikan dua seksaan.

Dalam pada itu, lihatlah dan renungkan kisah hidup Rasulullah S.A.W. Rasulullah S.A.W juga pernah ditimpa musibah, pernah juga berduka. Lagi berat ujian yang menimpa baginda berbanding dengan kita. Tetapi baginda tetap tabah dan meneruskan ibadah.

Kita lihat pula kejadian gempa bumi yang melanda Lombok tempoh hari. Situasi yang berlaku di dalam sebuah masjid di mana seorang imam dan beberapa makmum tidak berganjak daripada solat ketika gempa itu berlaku.

Renungkan juga mereka yang diberikan kesakitan tetapi tidak menjadikan penyakit tersebut sebagai penghalang untuk beribadah kepada Allah S.W.T.
#2- Tafakur

Tafakur bermaksud merenung dan memerhati segala ciptaan Allah SWT dan kemudiannya menghayati kekuasaanNya. Secara tidak langsung, perkara ini dapat meningkatkan keimanan kita kepada Allah S.W.T.

Bahkan juga menurut beberapa ulama makrifat (orang yang arif tentang ketuhanan), tafakur merupakan pelita hati.

Jika tafakur hilang dalam dirinya, maka lenyaplah pelita hatinya. Tafakur terbahagi kepada lima iaitu;
#1- Tafakur tentang ayat-ayat Allah, melahirkan tauhid dan keyakinan kepada Allah

#2- Tafakur tentang nikmat-nikmat Allah, melahirkan rasa cinta dan syukur kepada Allah

#3- Tafakur tentang janji-janji Allah, melahirkan rasa cinta kepada akhirat

#4- Tafakur terhadap ancaman Allah, melahirkan sikap waspada terhadap perlakuan dosa

#5- Tafakur tentang kekurangan diri dalam melaksanakan ketaatan kepada Allah, melahirkan rasa takut kepada Allah
#3- Zikir

Zikir merupakan penawar yang boleh diamalkan dengan hati dan menyebutnya dengan lisan. Sesungguhnya, zikir adalah santapan rohani. Disebabkan zikir, rohani terasa tenang malahan hati terasa bebas.

Selain itu, zikrullah amat penting dalam kehidupan umat Islam. Dengan kuasa zikir, pelbagai manfaat dapat diperoleh. Bukan sahaja dapat menjadi penyembuh penyakit tetapi juga dapat menolak kesusahan. Sehinggakan musibah yang ditimpa itu terasa ringan.

Namun sekiranya apabila kita sudah kerap berzikir tetapi masih tidak tenang-tenang, semak semula diri sendiri.

Ungkapan zikir perlu seiring dengan hati kita yang reda dengan musibah yang datang. Maka kurangkan mengeluh lalu kembali berzikir dan banyakkan bersyukur.
#4- Mujahadah

Mujahadah bermaksud berusaha dalam meninggalkan larangan Allah S.W.T, melawan dan menundukkan kehendak hawa nafsu.

Hati seseorang yang dikuasai nafsu ammarah dipenuhi dengan sifat yang buruk. Misalnya, perasaan mudah marah, mudah kecewa, takut kepada kesusahan, sombong dan bermacam-macam lagi.

Lebih-lebih lagi, golongan yang bermujahadah ialah orang-orang yang kuat. Mereka tidak dapat disogok dengan wang, pangkat dan sebagainya. Mujahadah itu pahit tetapi pada awal waktu sahaja.

Ujian akan terus datang untuk menguji kita namun dengan mujahadah kita akan kekal berjuang memperbetulkan tindakan untuk meraih keredaan Allah S.W.T.

Walau turun dan naiknya iman kita dalam menghadapi hidup yang terkadang mempunyai ujian susah senang, mohonlah kepada Allah S.W.T. Daripada Abu Hurairah, daripada Ummi Salamah R.A, isteri Nabi S.A.W berkata;

Apabila Rasulullah S.A.W selesai solat Maghrib, kemudian Baginda masuk ke rumah. Lalu solat dua rakaat kemudian selalu berdoa;


“Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkan hatiku di atas agamaMu.”Riwayat Tirmidzi
#5- Mendengar Tazkirah

Tazkirah berasal daripada perkataan Arab yang bermaksud “peringatan”. Sememangnya manusia perlu diperingatkan.

Ketika kita berasa lelah dengan penderitaan yang dialami, carilah ilmu. Usah tewas dengan musibah tetapi bersemangatlah setelah ditimpa musibah.

Seperti yang boleh kita lihat, zaman sekarang kelihatan lebih mudah untuk memperoleh sesuatu ilmu. Semua maklumat berada di hujung jari dan hanya kita yang akan menentukan apa-apa informasi yang kita mahu memiliki.

Di samping mendengar tazkirah melalui Youtube dan televisyen, artikel-artikel tazkirah juga banyak disajikan. Antaranya, Tazkirah.net dan berbagai-bagai laman web atau blog.

Mereka banyak memaparkan topik-topik yang bakal membantu kita dalam kehidupan di dunia dan juga bekalan sebelum menuju akhirat.

Maka dengan musibah yang menimpa, jadikan situasi itu sebagai pengajaran untuk memperbaiki diri dan amalan. Allah S.W.T mahu melihat kualiti iman, kesungguhan hamba-Nya dalam kehidupan dan mengingatkan kita untuk menuju ke jalan yang benar.

Akhirulkalam, dunia ini medan ujian. Kita yang masih hidup, teruskan perjuangan dengan bersungguh-sungguh. Dan ingatlah kita manusia yang lemah serta memerlukan Allah S.W.T.

Bersangka baiklah dengan Allah S.W.T kerana di sebalik musibah yang menimpa itu ada kebaikan dan hikmah. Allah SWT berfirman;


“Maka mungkin kalian membenci sesuatu padahal Allah menjadikan padanya kebaikan yang banyak.”Surah An-Nisa’ 4:19

Hidup tak sama, jalan cerita kita juga berbeza begitu juga dengan musibah yang menimpa. Cara kita menguruskan diri daripada musibah turut berlainan. Hanya satu tujuan yang kita sama-sama kongsikan iaitu berada di syurga yang aman.

Semoga penawar-penawar yang dihidangkan menjadi ubat untuk sentiasa cekal dalam menghadapi segala ujian. Selamat berjuang!

Rujukan;
Ilma Pratidina Suryandari. (2018). Cinta, Syukur & Tafakur. Jawa Timur: CV Azizah Publishing

7 Perkara Akhir Zaman Yang Digeruni


Buat renungan kita bersama.

#1- Orang Yang Tidak Sedarkan Diri
Daripada Abu Hurairah R.A. bahawasanya Rasulullah S.A.W. bersabda;

“Jika ada seseorang berkata, ramai orang telah rosak, maka orang yang berkata itu sendiri yang paling rosak di antara mereka.”
Riwayat Muslim

#2- Ahli Ibadat Yang Jahil Dan Ulama Yang Fasik
Daripada Anas R.A. beliau berkata, bersabda Rasulullah S.A.W;

“Akan ada pada akhir zaman ahli ibadat yang jahil dan ulama yang fasik.”
Riwayat Ibnu Ady

Orang jahil yang rajin beribadat dan ada pula orang alim yang fasik.

#3- Menjual Agama Kerana Dunia
Daripada Abu Hurairah R.A. beliau berkata, Rasulullah S.A.W. bersabda;

“Akan keluar pada akhir zaman orang-orang yang mencari keuntungan dunia dengan menjual agama. Mereka berpakaian di hadapan orang lain dengan pakaian yang dibuat daripada kulit kambing (berpura-pura zuhud dari dunia) untuk mendapat simpati orang ramai dan perkataan mereka lebih manis daripada gula. Walhal, hati mereka adalah hati serigala. Allah S.W.T. berfirman kepada mereka, “Apakah kamu tertipu dengan kelembutanKu ? Atau kamu terlalu berani berbohong kepadaKu ? Demi kebesaranKu, Aku bersumpah akan menurunkan suatu fitnah yang akan terjadi di kalangan mereka sendiri, sehingga orang yang alim (cendekiawan) pun akan menjadi bingung.”
Riwayat Tirmizi

#4- Pendusta Dan Pengkhianat
Daripada Abu Hurairah R.A. beliau berkata, Rasulullah S.A.W. bersabda;

“Akan datang kepada manusia tahun-tahun yang penuh dengan penipuan. Pada waktu itu si pendusta dikatakan benar dan orang yang benar dikatakan dusta. Pengkhianat akan disuruh memegang amanah dan orang yang amanah dikatakan pengkhianat. Dan yang berkesempatan berbicara (cuba membetulkan) hanyalah golongan “Ruwaibidhah”. Sahabat bertanya “Apakah Ruwaibidhah itu wahai Rasulullah ?” Rasulullah S.A.W. menjawab, “Orang kerdil, hina dan tidak mengetahui bagaimana hendak mengurus orang yang ramai.”
Riwayat Ibnu Majah

#5- Fasik Yang Berleluasa
Daripada Abu Hurairah R.A. bahawasanya Rasulullah S.A.W. bersabda;

“Bersegeralah kamu beramal sebelum menemui fitnah (ujian berat) seumpama malam yang sangat gelap. Seseorang yang masih beriman pada waktu pagi, kemudian pada waktu petang dia sudah menjadi kafir, atau seseorang yang masih beriman pada waktu petang, kemudian pada keesokan harinya dia sudah menjadi kafir. Dia telah menjual agamanya dengan sedikit harta benda dunia.”
Riwayat Muslim

#6- Penindasan Terhadap Umat Islam
Daripada Tsauban R.A. beliau berkata, Rasulullah S.A.W. bersabda;

“Hampir tiba suatu zaman di mana bangsa-bangsa dari seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bahkan orang-orang yang kelaparan mengerumuni bekas hidangan mereka.” Maka salah seorang sahabat bertanya, “Apakah kerana kami sedikit pada hari itu ?”. Rasulullah S.A.W. menjawab, “Bahkan kamu pada hari itu terlalu ramai, tetapi kamu umpama buih pada masa banjir, dan Allah S.W.T. akan mencabut rasa gentar terhadap kamu daripada hati musuh-musuh kamu, dan Allah S.W.T. akan melemparkan ke dalam hati kamu penyakit ‘wahan’. Seorang sahabat bertanya, “Apakah ‘wahan’ itu, wahai Rasulullah ?” Rasullullah S.A.W. menjawab, “Cinta dunia dan takut mati.”
Riwayat Abu Daud

#7- Namanya Sahaja Islam
Daripada Ali bin Abi Thalib R.A. beliau berkata, telah bersabda Rasulullah S.A.W., “Telah hampir tiba suatu zaman, di mana tidak ada lagi dari Islam kecuali hanya namanya, dan tidak adal lagi dari Al-Quran kecuali hanya tulisannya. Masjid-masjid mereka indah, tetapi kosong daripada hidayah. Ulama mereka adalah sejahat-jahat makhluk yang ada di bawah langit. Daripada merekalah keluar fitnah dan kepada mereka jugalah fitnah itu akan kembali.”
Riwayat Al-Baihaqi


Sumber: tazkirah.net
 
Support : Creating Website | Template | Master Template
Copyright © 2018. Reformasi Kini - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Master Template
Proudly powered by Blogger