Headlines News :

      NOTIS UTAMA

        Blog yang memaparkan berita-berita yang menjadi sumber isu terkini - Reformis Jalanan

PERHATIAN

Kami tidak terikat dengan mana-mana kefahaman pemikiran oleh itu kami akan siar apa sahaja bahan daripada mana-mana parti, pertubuhan atau individu.

Oleh itu anda boleh memberikan komen apa sahaja bahan yang disiarkan dan Insya-Allah komen anda tidak dipadam.

Tapi ingat komen berbentuk iklan akan dianggap sebagai spam.

Followers

Total Pageviews

Perlu kajian cadang buka sempadan 24 jam


KOTA BHARU: Kerajaan perlu membuat kajian menyeluruh sebelum melaksanakan cadangan untuk membuka pintu sempadan 24 jam antara Malaysia dan Thailand.

Sebaliknya Menteri Besar, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berpandangan undang-undang serta kawalan yang dilakukan pihak berkuasa sekarang sudah memuaskan.

Beliau berkata, cadangan itu boleh dilaksanakan sekiranya kerajaan mempunyai kelengkapan serta penguatkuasa yang mencukupi untuk membuat kawalan sehingga 24 jam.

"Saya rasa cadangan ini perhalusi lagi supaya kita dapat benar-benar dapat mengawal kedatangan pendatang asing selepas 12 malam.

"Bagi pihak kerajaan negeri, kita menegaskan keperluan satu kajian melihat kebaikan atau keburukan, malah kita sentiasa menyokong perkara baik dan menolak benda buruk," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia peringkat Kelantan di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV di sini hari ini. – HARAKAHDAILY 27/10/2018

Azis Jamman tak sesuai jadi timbalan menteri, kata Surendran


PETALING JAYA: Seorang penasihat kumpulan hak asasi membidas Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman mempertahankan polis menggunakan Akta Hasutan menahan adik kepada seorang pemimpin Umno.

Penasihat Lawyers for Liberty (LFL), N Surendran menerusi Twitternya berkata, ahli Parlimen Warisan itu tidak sesuai menjadi timbalan menteri.

“Mengarut bercakap mengenai SOP polis,” katanya merujuk prosedur operasi standard.

“Beliau patut mendapatkan salinan manifesto Pakatan Harapan (PH) dan membacanya.”

Hari ini, Azis dilaporkan berkata, akta kontroversi itu akan terus digunakan sehingga ia dipinda atau dimansuhkan.

Beliau berkata demikian ketika mengulas penahanan Azman Noor Adam, adik kepada Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Lokman Noor Adam.

Azis dilaporkan berkata, polis sekadar mematuhi SOP ketika menahan Azman, Selasa lalu, selepas menerima laporan mendakwa beliau memuat naik sekeping gambar yang menghina Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di media sosial.

Sebelum pilihan raya umum ke-14, PH berjanji akan memansuhkan Akta Hasutan, Akta Majlis Keselamatan Negara dan Akta Anti-berita Tidak Benar jika menang pada 9 Mei lalu.

Terdahulu, Dr Mahathir hari ini tidak bersetuju dengan tindakan dikenakan ke atas Azman.

Katanya, ahli politik perlu terima apabila dikritik dan beliau dipanggil dengan banyak nama semasa menjadi perdana menteri selama 22 tahun, tetapi tidak pernah mengambil sebarang tindakan terhadap mereka.

“Saya tidak kisah dicela oleh sesiapa, ia tidak akan menjejaskan saya. Ada satu kes di Pulau Pinang dan saya beritahu mereka (polis) agar tidak mengambil sebarang tindakan yang seumpamanya.”

Anwar yakin menang


KUALA LUMPUR 28 Sept. - Calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin rekod prestasi­nya yang cemerlang akan membantunya memenangi pilihan raya yang akan diadakan pada 13 Oktober ini.

Jelasnya, telah terbukti dan tercatat dalam hansard Parlimen bahawa beliau yang mempertahankan nasib kakitangan dan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) apabila bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyuarakan hasrat untuk menutup dan membangunkan semula Kem Tentera Udara Sungai Besi dengan kerjasama syarikat swasta.

“Saya bangkit di Parlimen dan mempertahankan hak ATM apabila Datuk Seri Najib ingin menswastakan Kem Sungai Besi kepada Jho Low (ahli perniagaan Low Taek Jho) dan konconya. Pe­ngundi boleh tengok dan akses perkara ini dan saya sendiri akan memberi penera­ngan kepada mereka (pengundi),” katanya.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas tindakan Pas meletakkan Pre­siden Kelab Kebajikan Veteran dan Pesara Tentera (Kerabat), Lef­tenan Kolonel (B) Mohd. Nazari Mokhtar, 57, bagi mewakili parti itu pada PRK ber­kenaan.

Selain itu, Anwar yang juga Presiden PKR memberitahu tindakan memfailkan semakan kehakiman untuk mencabar keputusan peletakan jawatan bekas ahli Parlimen di situ, Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 68, merupakan usaha pihak tertentu untuk menghalangnya ke Parlimen.

“Sebelum ini me­reka mempertikaikan pengampunan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V tapi rekodnya jelas, suratnya pun ada jadi saya tidak fikir (semakan kehakiman) akan jejaskan pro­ses ini. Ini hanya usaha pihak tertentu untuk menghalang Anwar, sudah 20 tahun cuba menghalang Anwar secara berterusan tetapi saya yakin, insya-Allah pengundi akan buat keputusan yang bijak,” ujarnya.

Semalam, seorang pengundi di Parlimen Port Dickson, Rosmadi Mohd. Kassim, 56, memfailkan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi di sini dan memohon deklarasi bahawa peletakan jawatan res­ponden pertama sebagai tidak sah dan terbatal.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei lalu, Danyal Balagopal memenangi kerusi itu dengan majoriti 17,710 undi mengalahkan calon Barisan Nasional (BN), Datuk V.S. Mogan dan Mahfuz Roslan daripada Pas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan penamaan calon pada 29 September ini dan 13 Oktober untuk hari pe­ngundian.

Isa buat keputusan tepat - Zahid


KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan keputusan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson sebagai pilihan tepat.

“Selamat maju jaya kepada Isa. Beliau membuat pilihan tepat (bertanding)’” katanya kepada media ketika ditemui selepas melawat persiapan akhir Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2018, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC ), di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas keputusan Isa bertanding sebagai calon Bebas dalam PRK Parlimen Port Dickson, 13 Oktober ini.

Bagaimanapun, Ahmad Zahid enggan mengulas lanjut ketika ditanya apa yang dimaksudkannya sebagai ‘pilihan tepat’.

Isa dilaporkan berkata, beliau membuat keputusan bertanding kerana UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak meletakkan calon di kawasan berkenaan.

PRK Parlimen Port Dickson diadakan selepas kerusi itu dikosongkan penyandangnya, Datuk Danyal Balagopal Abdullah pada 12 September lalu.

Pada PRU-14, 9 Mei lalu beliau memenangi kerusi itu dengan majoriti selesa 17,710 undi mengalahkan calon BN, Datuk VS Mogan dan Mahfuz Roslan daripada PAS.

Pakatan Harapan akan diwakili Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding di kerusi itu.

PAS pula mengumumkan Yang Dipertua PAS Kawasan Tenggara, Johor, Leftenan Kolonel (B) Mohd Nazari Mokhtar calon parti itu dalam PRK berkenaan.

PRK Parlimen Port Dickson setakat ini menarik minat beberapa pihak lain termasuk personaliti media sosial, Stevie Chan Keng Leong.

Turki tidak akan kenakan sekatan ke atas Iran


ANKARA: Turki tidak akan turut sama dengan Amerika Syarikat (AS) mengenakan sekatan ke atas Iran, kata menteri luarnya lapor Agensi Berita Iran (IRNA).

“Turki tidak akan menyokong apa-apa sekatan dan akan meneruskan perdagangannya dengan Iran, Rusia dan negara lain. Turki negara bebas dan berdaulat,” kata Mevlut Çavuşoğlu kepada wartawan.

Terdahulu, beliau mengadakan pertemuan dengan rakan sejawat dari Iran, Mohammad-Javad Zarif dan dari Rusia, Sergei Lavrov di luar sesi ke-73 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) di New York.

“Turki akan meneruskan perdagangan dengan Iran tanpa mengira sekatan AS.

“Kami hanya memberikan komitmen untuk sekatan yang diputuskan oleh PBB dan bukannya oleh pihak lain,” katanya.

Mengenai perbincangan berkaitan wilayah Syria, Idlib, ujar beliau ketiga-tiga negara sepakat mengenai pentingnya pelaksanaan perjanjian Sochi dan percaya peluang itu harus digunakan bagi menghimpunkan pembangkang di Syria dan mempercepatkan proses damai.

“Pada masa depan, pembentukan jawatankuasa perlembagaan Syria harus menjadi langkah paling penting, kerana senarai ahlinya telah dimuktamadkan,” kata Çavuşoğlu

Katanya, Turki juga akan terus memerangi keganasan.

Rogol remaja 13 tahun bergilir-gilir, 9 ditahan


TAIPING: Polis menahan 9 lelaki bagi membantu siasatan kes seorang remaja perempuan berusia 13 tahun dipercayai dirogol bergilir-gilir di Kampung Kurnia Jaya, Kamunting dan Taman Tekkah Permai, Aulong sejak 18 hingga 25 Sept lepas.

Ketua Polis Daerah Taiping, ACP Mohamad Taib berkata suspek berumur 15 hingga 17 tahun itu ditahan pada 9 hingga 11 malam semalam di rumah suspek di sini dan Kamunting, susulan laporan polis dibuat mangsa di Balai Polis Kamunting, Rabu.

Beliau berkata kesemua suspek direman mulai semalam sehingga 2 Okt.

Mohamad berkata siasatan polis mendapati mangsa dan seorang rakan perempuannya pergi ke Taman Tasik Taiping dan mereka dijemput 2 lelaki yang menaiki motosikal pada 11 pagi, 18 Sept lepas.

“Dua lelaki itu membawa mangsa ke rumah seorang suspek di Kampung Kurnia Jaya, Kamunting dan seorang lagi rakan suspek yang berada di rumah itu menarik mangsa lalu merogolnya. Dua lelaki itu turut merogol mangsa,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Taiping di sini semalam.

Katanya mangsa sekali lagi dirogol bergilir-gilir 8 lelaki di Kampung Kurnia Jaya pada 19 Sept, dan 25 Sept di Taman Tekkah Permai.

Beliau berkata doktor yang membuat pemeriksaan ke atas mangsa mendapati alat sulit remaja perempuan itu mengalami kesan koyakan lama.

Katanya siasatan polis mendapati 3 suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes rogol, mendatangkan kecederaan parah dan kesalahan seksual terhadap kanak-kanak.

Mohamad berkata polis sedang mengesan rakan mangsa itu serta 2 lagi suspek yang masih bebas bagi membantu siasatan.

Rais sedia galas tugas pulihkan BERSATU NS


Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Malaysia (BERSATU) Negeri Sembilan, Tan Sri Dr Rais Yatim sedia menggalas tugas yang diamanahkan pucuk pimpinan parti untuk menyusun semula parti itu selepas pembubaran parti peringkat negeri itu semalam.

Katanya, beliau dan timbalannya, Eddin Syazlee Shith yang dilantik dikekalkan dan diberi tugas memulihkan parti itu serta menyusun semula parti supaya bergerak dengan efisien, adil dan saksama.

"Beri saya tempoh tiga bulan untuk saya laksanakan 'kerja rumah' ini," katanya​ kepada pemberita​​​​​​ selepas majlis ramah mesra bersama ahli BERSATU negeri semalam.

Turut hadir, Eddin, yang juga Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia.

Rais, bekas Penasihat Budaya Kerajaan, berkata beliau akan mendengar maklum balas daripada lapan bahagian di negeri itu serta mengenal pasti jumlah keanggotaan sayap Pemuda Armada dan Srikandi.

Beliau mengulas pengumuman Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam bahawa tindakan pembubaran itu diambil atas nasihat Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) sebagai antara satu cara menyelesaikan masalah dalaman parti di negeri itu yang berpanjangan dan tidak dapat diselesaikan.

Rais, yang juga bekas Anggota Parlimen Rembau, berkata parti itu mengadakan kursus bina semula semangat dan perjuangan parti mengikut slogannya iaitu Bersatu, Bermaruah, Beramanah.

”Mana-mana ketua bahagian yang didapati mementingkan diri atau memainkan sistem nepotism, rasuah dan tidak memberi sepenuhnya kepada tuntutan parti akan dikenakan tindakan tegas,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata BERSATU tidak mahu mengulangi kesilapan yang dilakukan Umno dan menolak sebarang salah laku termasuk penyalahgunaan wang, politik wang dan nepotisme.

Mengenai pelantikan lapan ketua bahagian BERSATU, beliau berkata satu rundingan akan diadakan dengan kepimpinan pusat untuk menerima atau menolak calon yang dicadangkan oleh Negeri Sembilan.

- Bernama

Jangan jadikan kematian permainan media sosial - DJ Dave


KUALA LUMPUR 26 Sept. - Presiden Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (YKAT), Datuk DJ Dave menyelar tindakan pihak yang sering mengambil kesempatan untuk menyebarkan hal kematian palsu artis di negara ini.

Jelasnya, perkara begitu seharusnya disahkan melalui keluarga dan bukan boleh dikongsi sewenang-wenangnya sehingga menimbulkan pelbagai masalah.

“Hal kematian tidak wajar dijadikan bahan permainan dalam media sosial dengan sewenang-wenangnya. Perlu disahkan sumbernya dengan ahli keluarga terlebih dahulu. Itu yang menjadi amalan media-media utama di negara kita sebelum ini dan itu perlu dicontohi.

“Sikap sesetengah blogger yang sengaja menjadikan isu kematian artis sebagai bahan berita mereka walaupun sumbernya tidak sahih adalah sesuatu yang tidak wajar dan bertanggungjawab kerana setiap penulisan perlu punya intergriti.

“Kasihanilah keluarga artis tersebut. Kita tidak boleh menulis tentang berita yang tidak benar terutamanya membabitkan kematian. Itu bukan etika yang baik kerana soal kematian orang lain bukanlah berita yang boleh disensasikan,” katanya.

Sementara itu DJ Dave yang berkesempatan melawat penyanyi Saleem baru-baru ini turut berasa simpati dengan tekanan yang dihadapi penyanyi itu dan ahli keluarganya.

Jelasnya, berita kematian palsu yang disebarkan individu tidak bertanggungjawab baru-baru ini tidak seharusnya berlaku memandangkan Saleem kini masih lagi dirawat.

“Ketika melawat penyanyi tersebut di Hospital HUKM Cheras semalam, keadaan Saleem agak stabil tetapi perlu berada di bawah pemantauan pihak hospital. Hanya keluarga dibenarkan untuk melawat.

“Kita sama-sama berdoa agar Saleem segera sembuh dan boleh kembali menghiburkan orang ramai,” katanya yang turut berdukacita atas pemergian Datuk Suhaimi Mohd. Zain yang lebih mesra dipanggil Pak Ngah semalam. - UM
 
Support : Creating Website | Template | Master Template
Copyright © 2018. Reformasi Kini - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Master Template
Proudly powered by Blogger