Headlines News :

      NOTIS UTAMA

        Blog yang memaparkan berita-berita yang menjadi sumber isu terkini - Reformis Jalanan

KATEGORI

PERHATIAN

Kami tidak terikat dengan mana-mana kefahaman pemikiran oleh itu kami akan siar apa sahaja bahan daripada mana-mana parti, pertubuhan atau individu.

Oleh itu anda boleh memberikan komen apa sahaja bahan yang disiarkan dan Insya-Allah komen anda tidak dipadam.

Tapi ingat komen berbentuk iklan akan dianggap sebagai spam.

Followers

Total Pageviews

Showing posts with label Sosial. Show all posts
Showing posts with label Sosial. Show all posts

Rogol remaja 13 tahun bergilir-gilir, 9 ditahan


TAIPING: Polis menahan 9 lelaki bagi membantu siasatan kes seorang remaja perempuan berusia 13 tahun dipercayai dirogol bergilir-gilir di Kampung Kurnia Jaya, Kamunting dan Taman Tekkah Permai, Aulong sejak 18 hingga 25 Sept lepas.

Ketua Polis Daerah Taiping, ACP Mohamad Taib berkata suspek berumur 15 hingga 17 tahun itu ditahan pada 9 hingga 11 malam semalam di rumah suspek di sini dan Kamunting, susulan laporan polis dibuat mangsa di Balai Polis Kamunting, Rabu.

Beliau berkata kesemua suspek direman mulai semalam sehingga 2 Okt.

Mohamad berkata siasatan polis mendapati mangsa dan seorang rakan perempuannya pergi ke Taman Tasik Taiping dan mereka dijemput 2 lelaki yang menaiki motosikal pada 11 pagi, 18 Sept lepas.

“Dua lelaki itu membawa mangsa ke rumah seorang suspek di Kampung Kurnia Jaya, Kamunting dan seorang lagi rakan suspek yang berada di rumah itu menarik mangsa lalu merogolnya. Dua lelaki itu turut merogol mangsa,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Taiping di sini semalam.

Katanya mangsa sekali lagi dirogol bergilir-gilir 8 lelaki di Kampung Kurnia Jaya pada 19 Sept, dan 25 Sept di Taman Tekkah Permai.

Beliau berkata doktor yang membuat pemeriksaan ke atas mangsa mendapati alat sulit remaja perempuan itu mengalami kesan koyakan lama.

Katanya siasatan polis mendapati 3 suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes rogol, mendatangkan kecederaan parah dan kesalahan seksual terhadap kanak-kanak.

Mohamad berkata polis sedang mengesan rakan mangsa itu serta 2 lagi suspek yang masih bebas bagi membantu siasatan.

'Who is Hussain' beri donat percuma: "Kami bukan Syiah!"



PETALING JAYA: Pemberian donat percuma oleh beberapa sukarelawan kepada orang awam pada hujung minggu lalu mencetuskan kontroversi kerana didakwa cuba menyebarkan fahaman Syiah di negara ini.

Aktiviti yang diadakan di Bukit Bintang, Kuala Lumpur itu tular di media sosial selepas ia dimuat naik oleh seorang pendakwah pada Ahad.

Posting tersebut menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen yang rata-rata bimbang jika dakwaan itu benar dan berharap pihak berkuasa dapat menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya.

Penganjur program yang hanya ingin dikenali sebagai Natasha ketika dihubungi mStar Online menafikan organisasi 'Who is Hussain?' mempunyai kaitan dengan Syiah dan amat sedar bahawa fahaman tersebut dianggap sesat di negara ini.



Posting seorang pendakwah mengenai kegiatan memberikan donat percuma oleh penganjur 'Who is Hussain?'. - Facebook

"Kami bukan Syiah dan saya sangat sedar Syiah ni 'mazhab' sesat... kami tidak gila untuk buat program (kebajikan) dan cari fasal.

"Semasa kami bagi 1,000 donat, tiada seorang pun individu yang marah atau tanya soalan kepada kami, tapi selepas F****** W*** (pendakwah) mengeluarkan kenyataan itu, terus bantai cakap kami ni Syiah," katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Menurut pemangku Ketua Wakil 'Who is Hussain?' Malaysia itu, susulan posting tular tersebut dia terpaksa membuat laporan polis kerana menerima ugutan bunuh daripada pengguna laman sosial.



Penganjur 'Who is Hussain?' mendakwa aktiviti organisasi tersebut bertunjangkan kebajikan.

"Kami dapat pelbagai ugutan seperti pukul, sepak dan bunuh daripada pengikut pendakwah berkenaan sehingga ada yang menuduh kami kafir.

"Kami tidak berdakwah atau kembangkan dakyah (Syiah), hanya nak bagi donat dan cerita tentang Hussain. Akidah kami jelas Sunni," jelasnya sambil menambah laporan dibuat di Balai Polis Dang Wangi pada Rabu.



Laporan polis terhadap pendakwah yang mendakwa organisasi 'Who is Hussain' menyebarkan fahaman Syiah.

Tambah Natasha, organisasi itu memilih 'Hussain' kerana ingin mengingati pengorbanan besar cucu Rasulullah SAW untuk agama Islam sehingga akhirnya dibunuh.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Nadia Zammil Md Nasir mengesahkan perkara ini berada dalam pemantauan dan siasatan pihaknya.

"Saya telah berhubung dengan bahagian penguatkuasaan dan bahagian penyelidikan berkaitan perkara ini.

"Buat masa ini, kes ini dalam pemantauan dan siasatan pihak kami. Sebarang perkembangan terkini akan kami maklumkan semula kepada pihak media," ujarnya kepada mStar Online pada Khamis. - MStar

Hidup 'ditemani' sampah-sarap


TUMPAT 26 Sept. – Lebih sedekad hidup bergelumbang dengan timbunan sampah-sarap di dalam sebuah rumah di Kampung Bendang Pak Yong, Pengkalan Kubor, di sini tidak sedikitpun menimbulkan rasa jijik kepada seorang wanita pesakit mental.

Difahamkan, wanita tersebut, Wan Hafsah Che Awan, 39, yang tidak mempunyai keluarga dan hidup sebatang kara, berubah menjadi tidak terurus selepas kematian ibu dan bapa angkatnya, 15 tahun lalu.

Jirannya, Che Omar Isa, 68, berkata, Wan Hafsah didapati menghidap penyakit mental sejak usia belasan tahun dan pernah mendapat rawatan di hospital mental.

Katanya, wanita itu kemudiannya dibenarkan keluar dari hospital selepas keadaannya dilaporkan semakin pulih.

“Bagaimanapun, penyakit Wan Hafsah bertambah parah sebaik sahaja kedua ibu bapa angkat yang menjaganya selama ini meninggal dunia, 15 tahun lalu.

“Apa yang membimbangkan saya, dia gemar keluar ru­mah secara bersendirian dan sering terlupa jalan untuk pulang ke rumah. Saya khuatir jika ada pihak mengambil ke­sem­patan terhadapnya terutama gangguan seksual kerana dia seorang wanita,” katanya ketika ditemui, di sini hari ini.

Che Umar memberitahu, dia pernah mengemukakan permohonan bantuan untuk Wan Hafsah kepada pihak yang berkenaan namun tidak dilayan.

Selain itu katanya, taraf Wan Hafsah sebagai penduduk tetap turut merumitkan kea­daan walaupun dia sudah 39 tahun tinggal di negara ini.

4 Juta Notis Saman Trafik DBKL Belum Dibayar Pengguna Degil


KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengeluarkan kira-kira empat juta notis saman kepada pesalah trafik melibatkan pelbagai kesalahan termasuk notis tertunggak sejak 2006.

Pengarah Jabatan Perancangan Korporat DBKL, Khairul Azmir Ahmad berkata daripada jumlah itu hanya 104,646 notis saman dijelaskan membabitkan nilai kira-kira RM3.2 juta sejak DBKL menawarkan potongan diskaun kepada pesalah trafik bermula 1 Sept lepas.

“Bagi mengelak pesalah dibawa ke mahkamah dan disenarai hitam Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), mereka dinasihatkan supaya menjelaskan kompaun kesalahan trafik sebelum 30 Sept ini,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Tegasnya proses tindakan mahkamah dan disenarai hitam itu akan dikuatkuasakan serta merta selepas tempoh tawaran tamat pada hujung bulan ini.

DBKL sebelum ini menawarkan kadar khas kompaun serendah RM20 kepada pesalah trafik yang belum menjelaskan notis kompaun kesalahan tempat letak kenderaan bermeter dan lalu lintas bermula 1 Sept hingga 30 Sept ini.

Kompaun khas RM20 diberikan bagi pengguna motosikal, RM30 bagi kereta, MPV, van, lori kecil, pikap, 4WD dan SUV, manakala RM50 bagi kenderaan berat seperti lori besar, bas, kren, traktor dan treler.

Namun kadar khas itu tidak termasuk bagi kesalahan yang sudah disenarai hitam (status W) dan kes-kes mahkamah (U), sebutan mahkamah (M) dan waran tangkap (W), katanya.

Bayaran kadar khas itu boleh dibuat di beberapa lokasi antaranya kaunter bayaran dan kiosk DBKL, pejabat pos, aplikasi mudah alih DBKL Mobis dan portal dalam talian www.myeg.com atau e-bayar. – BERNAMA

Warga Emas Kerugian RM50,000 Diperdaya Macau Scam


KUANTAN – Seorang wanita warga emas kerugian RM50,000 selepas diperdaya dengan panggilan palsu yang mendakwa terlibat dalam aktiviti dadah dan wang haram.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa, 64, yang merupakan seorang peniaga, sebelum itu menerima panggilan daripada seorang suspek pada 16 Sept lalu yang mendakwanya mempunyai tunggakan pinjaman peribadi daripada sebuah bank.

“Mangsa yang terkejut dengan dakwaan itu kemudian disambungkan kepada suspek lain yang menyamar sebagai pegawai polis yang mendakwa akaun mangsa terlibat dengan aktiviti dadah dan wang haram.

“Suspek telah meminta maklumat akaun dan baki wang sebelum mangsa memaklumkan mempunyai baki wang dalam simpanan ASB sebanyak RM500,000,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Katanya, suspek kemudian telah meminta mangsa membuka akaun baharu dengan memindahkan kesemua wang berkenaan dan memberi maklumat akaun berkenaan kepada suspek.

Beliau berkata, mangsa menyedari ditipu setelah dihubungi oleh pihak bank menghubunginya setelah mengesan berlaku pengeluaran wang sebanyak RM50,000 dalam tempoh singkat.

Susulan itu, satu laporan telah dibuat di Ibu Pejabat Daerah Kuantan semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, sebatan dan denda jika sabit kesalahan. – BERNAMA
 
Support : Creating Website | Template | Master Template
Copyright © 2018. Reformasi Kini - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Master Template
Proudly powered by Blogger