Headlines News :
Home » » Anwar yakin menang

Anwar yakin menang

Written By Assistant Editor on Saturday, September 29, 2018 | 10:48 AM


KUALA LUMPUR 28 Sept. - Calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin rekod prestasi­nya yang cemerlang akan membantunya memenangi pilihan raya yang akan diadakan pada 13 Oktober ini.

Jelasnya, telah terbukti dan tercatat dalam hansard Parlimen bahawa beliau yang mempertahankan nasib kakitangan dan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) apabila bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyuarakan hasrat untuk menutup dan membangunkan semula Kem Tentera Udara Sungai Besi dengan kerjasama syarikat swasta.

“Saya bangkit di Parlimen dan mempertahankan hak ATM apabila Datuk Seri Najib ingin menswastakan Kem Sungai Besi kepada Jho Low (ahli perniagaan Low Taek Jho) dan konconya. Pe­ngundi boleh tengok dan akses perkara ini dan saya sendiri akan memberi penera­ngan kepada mereka (pengundi),” katanya.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas tindakan Pas meletakkan Pre­siden Kelab Kebajikan Veteran dan Pesara Tentera (Kerabat), Lef­tenan Kolonel (B) Mohd. Nazari Mokhtar, 57, bagi mewakili parti itu pada PRK ber­kenaan.

Selain itu, Anwar yang juga Presiden PKR memberitahu tindakan memfailkan semakan kehakiman untuk mencabar keputusan peletakan jawatan bekas ahli Parlimen di situ, Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 68, merupakan usaha pihak tertentu untuk menghalangnya ke Parlimen.

“Sebelum ini me­reka mempertikaikan pengampunan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V tapi rekodnya jelas, suratnya pun ada jadi saya tidak fikir (semakan kehakiman) akan jejaskan pro­ses ini. Ini hanya usaha pihak tertentu untuk menghalang Anwar, sudah 20 tahun cuba menghalang Anwar secara berterusan tetapi saya yakin, insya-Allah pengundi akan buat keputusan yang bijak,” ujarnya.

Semalam, seorang pengundi di Parlimen Port Dickson, Rosmadi Mohd. Kassim, 56, memfailkan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi di sini dan memohon deklarasi bahawa peletakan jawatan res­ponden pertama sebagai tidak sah dan terbatal.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei lalu, Danyal Balagopal memenangi kerusi itu dengan majoriti 17,710 undi mengalahkan calon Barisan Nasional (BN), Datuk V.S. Mogan dan Mahfuz Roslan daripada Pas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan penamaan calon pada 29 September ini dan 13 Oktober untuk hari pe­ngundian.
Share this post :

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Template | Master Template
Copyright © 2018. Reformasi Kini - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Master Template
Proudly powered by Blogger