Headlines News :
Home » » 'Who is Hussain' beri donat percuma: "Kami bukan Syiah!"

'Who is Hussain' beri donat percuma: "Kami bukan Syiah!"

Written By Assistant Editor on Thursday, September 27, 2018 | 8:34 PM



PETALING JAYA: Pemberian donat percuma oleh beberapa sukarelawan kepada orang awam pada hujung minggu lalu mencetuskan kontroversi kerana didakwa cuba menyebarkan fahaman Syiah di negara ini.

Aktiviti yang diadakan di Bukit Bintang, Kuala Lumpur itu tular di media sosial selepas ia dimuat naik oleh seorang pendakwah pada Ahad.

Posting tersebut menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen yang rata-rata bimbang jika dakwaan itu benar dan berharap pihak berkuasa dapat menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya.

Penganjur program yang hanya ingin dikenali sebagai Natasha ketika dihubungi mStar Online menafikan organisasi 'Who is Hussain?' mempunyai kaitan dengan Syiah dan amat sedar bahawa fahaman tersebut dianggap sesat di negara ini.



Posting seorang pendakwah mengenai kegiatan memberikan donat percuma oleh penganjur 'Who is Hussain?'. - Facebook

"Kami bukan Syiah dan saya sangat sedar Syiah ni 'mazhab' sesat... kami tidak gila untuk buat program (kebajikan) dan cari fasal.

"Semasa kami bagi 1,000 donat, tiada seorang pun individu yang marah atau tanya soalan kepada kami, tapi selepas F****** W*** (pendakwah) mengeluarkan kenyataan itu, terus bantai cakap kami ni Syiah," katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Menurut pemangku Ketua Wakil 'Who is Hussain?' Malaysia itu, susulan posting tular tersebut dia terpaksa membuat laporan polis kerana menerima ugutan bunuh daripada pengguna laman sosial.



Penganjur 'Who is Hussain?' mendakwa aktiviti organisasi tersebut bertunjangkan kebajikan.

"Kami dapat pelbagai ugutan seperti pukul, sepak dan bunuh daripada pengikut pendakwah berkenaan sehingga ada yang menuduh kami kafir.

"Kami tidak berdakwah atau kembangkan dakyah (Syiah), hanya nak bagi donat dan cerita tentang Hussain. Akidah kami jelas Sunni," jelasnya sambil menambah laporan dibuat di Balai Polis Dang Wangi pada Rabu.



Laporan polis terhadap pendakwah yang mendakwa organisasi 'Who is Hussain' menyebarkan fahaman Syiah.

Tambah Natasha, organisasi itu memilih 'Hussain' kerana ingin mengingati pengorbanan besar cucu Rasulullah SAW untuk agama Islam sehingga akhirnya dibunuh.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Nadia Zammil Md Nasir mengesahkan perkara ini berada dalam pemantauan dan siasatan pihaknya.

"Saya telah berhubung dengan bahagian penguatkuasaan dan bahagian penyelidikan berkaitan perkara ini.

"Buat masa ini, kes ini dalam pemantauan dan siasatan pihak kami. Sebarang perkembangan terkini akan kami maklumkan semula kepada pihak media," ujarnya kepada mStar Online pada Khamis. - MStar
Share this post :

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Template | Master Template
Copyright © 2018. Reformasi Kini - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Master Template
Proudly powered by Blogger