Headlines News :
Home » » Hukuman syariah di khalayak: Polemik kekeliruan disengajakan

Hukuman syariah di khalayak: Polemik kekeliruan disengajakan

Written By Reformis on Wednesday, September 26, 2018 | 2:53 AM




Hukuman sebatan syariah di Terengganu dianggap sebagai bersalahan dengan syariah Islam sedangkan ia sememangnya di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah di Terengganu menerusi Seksyen 30 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 yang dibaca bersama Seksyen 59 (1) enakmen yang sama kerana musahaqah. Malah sebelum hukuman sebatan dijalankan, kedua-dua tertuduh diberi peluang untuk membuat rayuan ke atas hukuman sebat itu dalam tempoh 14 hari namun tidak berbuat demikian sehinggalah tempoh tamat.






KRITIKAN terhadap isu pelaksanaan hukuman syariah di hadapan khalayak terus mendapat liputan media rentetan daripada sebatan di khalayak yang dikenakan ke atas 2 pesalah yang cuba melakukan hubungan sejenis iaitu musahaqah (lesbian). Lebih teruk apabila sebilangan pemimpin PH bersuara dan menegaskan bahawa undang-undang hukuman seks hubungan sejenis adalah saki-baki hukuman era penjajahan British dan dianggap hukuman kuno.

Pada hakikatnya, tohmahan mereka menunjukkan kedangkalan dalam memahami keindahan perundangan jenayah dalam Islam. Malah mereka tidak mampu menutupi kebaikan dan kehebatan yang ada pada sebatan syariah tersebut. Ia dapat dirujuk kepada:

i. Kesan sebatan yang tidak mencederakan apatah lagi menyeksa. Berbeza dengan sebatan sivil yang mengakibatkan luka yang serius pada bahagian sebatan.

ii. Pesalah dalam keadaan berpakaian patuh syariah. Berbeza dengan hukuman sivil yang didedahkan aurat pesalah untuk disebat.

iii. Pesalah wanita dalam keadaan duduk manakala lelaki dalam keadaan berdiri. Ini menunjukkan penjagaan kehormatan dan maruah.

iv. Sebatan dilakukan setelah disahkan laporan kesihatan oleh pegawai perubatan kerana mengambilkira faktor kemampuan dan tidak mahu terdapat sebarang unsur penyeksaan.

Dalam konteks perundangan jenayah di dalam Islam, Syeikh Ali Ahmad al-Jarjawi di dalam kitabnya ‘Hikmah at-Tasyri' Wa Falsafatuh’ menyatakan bahawa penekanan yang diberikan ialah pencegahan (الزجر) dan didikan (التأديب), bukannya penyeksaan (التعذيب). Inilah ruh kepada pelaksanaan perundangan jenayah di dalam Islam. Dalam isu sebatan syariah yang dijatuhkan oleh Mahkamah Syariah di Terengganu, dapat dilihat bagaimana kedua-dua pesalah merasai sebak dan menangis. Bukan kerana sakit namun menginsafi kesalahan yang dilakukan.

Dalam Islam, pelaksanaan perundangan jenayah adalah berobjektifkan kafarah kepada dosa yang dilakukan. Ini boleh difahami daripada kisah wanita Ghamidiyyah yang dikenakan rejam ekoran kesalahan zina, apabila darahnya terkena pakaian Sayyidina Ali bin Abu Talib lantas dicela darah tersebut namun Rasulullah SAW menegaskan bahawa ia adalah darah yang baik. Ini kerana hukuman yang dikenakan hakikatnya sebagai penghapus dosa kesalahan mereka.

Manakala teknikal sebatan di hadapan khalayak awam adalah bersifat ijtihad hakim. Ia boleh diambil daripada sudut pengajaran sebatan dalam kategori hudud sebagaimana terkandung di dalam firman Allah SWT:

{الزَّانِيَةُ وَالزَّانِي فَاجْلِدُوا كُلَّ وَاحِدٍ مِنْهُمَا مِائَةَ جَلْدَةٍ ۖ وَلَا تَأْخُذْكُمْ بِهِمَا رَأْفَةٌ فِي دِينِ اللَّهِ إِنْ كُنْتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ۖ وَلْيَشْهَدْ عَذَابَهُمَا طَائِفَةٌ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ}

Maksudnya: “Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang daripada keduanya seratus kali sebat; dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum agama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat; dan hendaklah disaksikan hukuman yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan daripada orang-orang yang beriman.” [Al-Nur: 2]

Justeru, atas kebijaksanaan hakim dalam mempastikan objektif tercapai pada pencegahan (الزجر) dan didikan (التأديب). Dalam dalam konteks perkara ijtihad, maka pandangan hakim atau pemerintah adalah sesuatu yang diterima sebagaimana kaedah fiqh ada menyebut:

رأي الإمام منوط بالمصلحة
“Pandangan imam adalah bergantung kepada (pencapaian) maslahah.”

Sewajarnya isu sebatan syariah tidak perlu menjadi polemik sekiranya mereka memahami keindahan pada pelaksanaannya. Jika difokuskan kepada perbezaan cara sebatan syariah dan sivil, maka sudah pasti terserlah kebaikan pada sebatan syariah. Namun yang dipolemikkan status sebatan di khalayak ramai sedangkan ia tertakluk kepada kebijaksanaan hakim dalam bidangkuasa yang diberikan kepadanya. Amat malang kritikan negatif itu datangnya daripada orang Islam sendiri yang keliru akibat kejahilan tentang syariat Islam yang sahih. Inilah bahana kejahilan yang lahir daripada umat itu sendiri sebagaimana kata-kata Sayyidina Umar al-Khattab:

إنما تنقض عرى الإسلام عروة عروة، إذا نشأ في الإسلام من لا يعرف الجاهلية

"Sesungguhnya terlerai ikatan-ikatan Islam itu satu persatu apabila terdapat di dalam Islam mereka yang tidak mengenali apa itu jahiliyah.”

Susulan itu, Dewan Ulamak PAS Pusat melihat suara-suara sumbang yang mengkritik undang- undang hukuman seks hubungan sejenis seperti liwat, musahaqah dan sebatan syariah merupakan polemik kekeliruan yang disengajakan bagi menutup keindahan pelaksanaan perundangan jenayah dalam Islam. Inilah yang disebutkan sebagai Logical Fallacy iaitu kesesatan pemikiran dalam mengemukakan logik sebagaimana teori Red Herring iaitu kritikan bagi mengalihkan fokus seperti mengalihkan fokus kebaikan pelaksanaan syariah dengan mengulang-ulangi istilah maqasid dan keadilan. Semoga Allah SWT terus memberi kekuatan kepada para pendukung agama-Nya dalam memperjuangkan syariat hingga tertegak.

“Islam Memimpin”

“Islam Jalan Penyelesaian”


USTAZ MOHD ASRI MAT DAUD
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat
15 Muharram 1440 / 25 September 2018
Share this post :

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Template | Master Template
Copyright © 2018. Reformasi Kini - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Master Template
Proudly powered by Blogger