Headlines News :
Home » » Korea Selatan libas Malaysia

Korea Selatan libas Malaysia

Written By Reformis on Wednesday, September 26, 2018 | 10:53 PM


KUALA LUMPUR: Sudah jatuh ditimpa tangga. Itulah nasib menimpa skuad sepak takraw negara yang gagal mempertahankan pingat emas Piala Raja Thailand selepas tewas 1-2 di tangan pasukan sedang meningkat naik, Korea Selatan pada aksi final acara antara regu yang berlangsung di Terminal21 Korat Nakhon, Bangkok, Thailand, hari ini.

Sebelum ini skuad kebangsaan dirundung malang apabila terpaksa beraksi di Piala Raja Thailand tanpa kelibat ketua jurulatih sepak takraw Malaysia, Abdul Talib Ahmad yang digantung empat bulan oleh Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) berikutan kegagalan Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) melangsaikan denda AS$7,000 (RM28,960) susulan insiden pada Kejohanan Piala Raja Thailand 2016.



SKUAD sepak takraw kebangsaan bersama pegawai akur tewas kepada pasukan Korea Selatan i Terminal21 Korat Nakhon, Bangkok, Thailand, hari ini.

Ketiadaan Abdul Talib nyata memberi impak besar kepada trio sepak takraw Malaysia yang dibarisi oleh Muhammad Hairul Hazizi Haizir (tekong), Mohd Khairol Zaman Hamir Akhbar (apit kanan atau Killer) dan Aidil Aiman Azwawi (apit kiri) apabila mereka kelihatan goyang dan tewas set pertama kepada regu Korea Selatan dengan 18-21.

Malah, biarpun skuad sepak takraw Malaysia cuba mempamerkan kebangkitan semula apabila menang 21-10 pada set kedua dan mengheret perlawanan ke penentuan namun ia masih belum mencukupi.

Bagaimanapun, skuad sepak takraw Malaysia kehilangan konsentrasi dan gagal mengekalkan rentak kemenangan selain banyak melakukan kesilapan tidak sepatutnya sekali gus menyebabkan mereka kalah 13-21 di tangan Korea Selatan di set penentuan.

Kekalahan itu membolehkan Korea Selatan melunaskan dendam terhadap Malaysia berikutan kekalahan mereka kepada skuad kebangsaan dalam acara antara regu dan berpasukan di Sukan Asia Jakarta, baru-baru ini, selain tewas di peringkat separuh akhir acara sama Piala Raja Thailand, pada tahun lalu.

Bagi skuad sepak takraw Malaysia pula ia satu lagi tamparan hebat kepada PSM berikutan acara berkenaan tidak disertai tuan rumah Thailand biarpun kita tidak menyenaraikan regu emas terdiri daripada Mohd Syahir Rosdi (tekong), Mohd Farhan Adam (pengumpan) dah Muhammad Norhafizi Abd Razak (perejam) pada kejohanan kali ini.

Sebelum ini, ramai pihak beranggapan kejayaan Malaysia meraih pingat emas dalam acara antara regu di Sukan Asia Jakarta Palembang 2018 adalah kerana nasib berikutan Thailand tidak menghantar wakil mereka.

Bagaimanapun, kegagalan skuad kebangsaan mempertahankan emas dalam acara antara regu memang sudah diramal selepas Malaysia terpaksa merehatkan regu emas Sukan Asia Jakarta 2018 termasuk Zulkifle Abd Razak, Mohd Syahir Rosdi, Azlan Alias dan Mohd Farhan Adam kerana pelbagai sebab termasuk tidak mendapat perlepasan majikan.

Keadaan itu bertambah buruk apabila ramai pemain kebangsaan lambat diberikan pelepasan oleh pasukan negeri kerana terbabit dengan Sukan Malaysia 2018 (SUKMA) di Perak, sekali gus menjejaskan persiapan mereka menghadapi kejohanan besar seperti Piala Raja Thailand 2018.
Share this post :

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Template | Master Template
Copyright © 2018. Reformasi Kini - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Master Template
Proudly powered by Blogger