Headlines News :
Home » » Bekas pengerusi Tabung Haji tiba di mahkamah dengan baju lokap

Bekas pengerusi Tabung Haji tiba di mahkamah dengan baju lokap

Written By Reformis on Wednesday, September 26, 2018 | 11:48 AM


PUTRAJAYA: Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim tiba di Mahkamah Majistret Putrajaya untuk permohonan reman berhubung siasatan rasuah.

Bekas pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) itu yang diiringi beberapa pegawai, tiba dengan baju lokap berwarna oren Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada jam 10.35 pagi dengan menaiki kenderaan Toyota Fortuner hitam.

Beliau disambut kira-kira 50 penyokong yang diketuai Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Lokman Noor Adam yang berkumpul di luar mahkamah sejak 8 pagi tadi.

Azeez, 52, ditahan di ibu pejabat SPRM semalam, selepas dipanggil untuk membantu siasatan kes penerimaan rasuah di bawah Seksyen 16 Akta SPRM.

Abangnya, Abdul Latif – pengurus besar sebuah syarikat yang ditahan semalam, dilihat tiba di mahkamah sejurus selepas Azeez.

Media melaporkan 2 beradik itu ditahan bagi membantu siasatan berkaitan dakwaan penerimaan rasuah daripada sebuah syarikat kontraktor bagi sebuah projek.

Sumber SPRM berkata, siasatan turut dijalankan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFA).

Pada 23 Mei lalu, SPRM merampas wang tunai RM500,000 dari rumah Azeez di Baling, Kedah dan Subang, Selangor serta pejabatnya di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur dalam siasatan ke atas pelantikan kontraktor untuk projek TH.

Azeez dilaporkan berkata, sebahagian daripada RM500,000 itu untuk membiayai misi ke Gaza, Palestin yang dirancangnya selepas pilihan raya umum 9 Mei lalu, manakala sebahagian lagi ialah peruntukan bagi perbelanjaan Umno Bahagian Baling yang sepatutnya diberikan kepada rakyat sempena Ramadan dan sambutan Aidilfitri.

Selain wang tunai, katanya, SPRM turut merampas jam tangan dan pelbagai mata wang asing.
Share this post :

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Template | Master Template
Copyright © 2018. Reformasi Kini - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Master Template
Proudly powered by Blogger