Mesyuarat Umno bincang PRK Port Dickson panas
Written By Reformis on Tuesday, September 25, 2018 | 11:11 PM
Mesyuarat Biro Politik Umno yang membincangkan pendirian parti itu dalam pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Port Dickson semalam dikatakan berlangsung dalam suasana panas.
Menurut sumber, sebelum kata putus dicapai ada dua kumpulan saling mempertahankan hujah masing-masing.
Di satu pihak katanya mereka mahu Umno meletakkan calon dan tidak memberikan laluan mudah kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim memenangi PRK berkenaan.
Satu pihak lagi pula katanya berpendapat Umno lebih wajar membiarkan PRK berkenaan berlangsung tanpa meletakkan calon.
Kata sumber itu kumpulan yang tegas menolak untuk Umno meletakkan calon diketuai Timbalan Presiden Umno Datuk Mohamad Hasan, manakala pihak berada di posisi bertentangan - antaranya - ialah Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
“Yang saya tahu Tok Mat memang tegas dan konsisten tak nak dan kata tak perlu letak calon, sedangkan Asyraf Wajdi pula memang nak Umno bertanding,” kata sumber itu kepada Malaysiakini.
Sementara itu, Ashraf Wajdi pula ketika dihubungi Malaysiakini berhubung perkara itu enggan mengulas mengenai situasi yang didakwa sangat panas itu.
Bukan nak bagi tekanan
Sebaliknya bekas timbalan menteri semasa zaman BN itu berkata beliau menerima keputusan yang dibuat itu atas dasar konsensus.
“Yalah... macam pendirian yang saya nyatakan di Facebook saya, itu pendirian saya dengan jelas mengenai PRK itu (Umno perlu bertanding).
“Tapi Umno akhirnya berpegang pada prinsip musyawarah dan syura, kita konsensus (terima keputusan),” katanya.
Semalam, Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melalui sidang medianya mengumumkan langkah Umno memboikot PRK berkenaan.
Bagaimanapun, sebelum Ahmad Zahid muncul di depan media untuk mengumumkan keputusan yang dibuat atas nama BN itu Mohamad terlebih dulu mengeluarkan kenyataan dengan memberikan sebab-sebab mengapa mereka tidak perlu menyertai PRK berkenaan.
Tiga sebab utama itu, katanya, termasuk mempertahankan prinsip dan pendirian dan keperluan memberi fokus kepada rejuvenasi parti.
Turut ditekankan oleh beliau ialah keperluan Umno melakukan analisis serta kajian mendalam terhadap tahap sokongan pengundi di semua kawasan parlimen dan dewan undangan negeri (DUN) di seluruh negara.
Ia disebut-sebut sebagai membayangkan Biro Politik Umno gagal mencapai kesepakatan mengenai PRK Port Dickson dan langkah Mohamad mengeluarkan kenyataan lebih awal dibuat sebagai satu tekanan kepada kumpulan yang berpendapat BN perlu bertanding.
Sementara itu anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Lokman Noor Adam berpendapat kenyataan yang dikeluarkan Mohamad itu hanya pandangan peribadi.
“Itu kan pandangan, kenyataan saya lebih awal dua minggu sudah, kenyataan Datuk Seri Nazri Aziz (pun ada dibuat) lebih awal.
"Itu bukan soal nak bagi tekanan tapi semua orang berhak memberikan kenyataan sebelum 24 hari bulan.
"Apabila BN buat keputusan semua orang kena akur dan pertahankan keputusan parti.
“Tak ada isu bagi tekanan, semua orang berhak bagi pandangan,” katanya.
Labels:
Berita
Post a Comment