Headlines News :
Home » » Sultan murka surat ahli majlis dalam bahasa Cina

Sultan murka surat ahli majlis dalam bahasa Cina

Written By Reformis on Tuesday, September 25, 2018 | 9:55 PM


Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar murka dengan tindakan seorang Ahli Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) yang tidak menggunakan bahasa Melayu dalam surat rasminya.

Baginda bertitah apa sahaja surat rasmi sama ada membabitkan kerajaan negeri mahu pun pihak berkuasa tempatan (PBT) di Johor seharusnya ditulis dalam bahasa Melayu.

“Apa sahaja urusan surat menyurat membabitkan kerajaan negeri atau ahli majlis PBT semuanya mesti dalam bahasa Melayu kerana ia menggunakan kepala surat rasmi kerajaan negeri walaupun ia berkaitan pemakluman mesyuarat.

“Bila masa dalam negeri Johor surat rasmi ditulis dalam dua bahasa,” titah Baginda kepada Pejabat Akhbar Diraja (RPO) di Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru hari ini.



Baginda mengulas tindakan seorang ahli Majlis MBIP menggunakan bahasa Cina dan bahasa Inggeris bagi memaklumkan mengenai sebuah majlis dialog yang menjadi tular di media media sosial.

Surat jemputan majlis perbincangan mengenai infrastruktur jalan raya bertarikh 12 September lalu itu beredar sejak semalam.

Usaha menghubungi ahli majlis berkenaan setakat ini masih belum berjaya.

Bagaimanapun, anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perling Cheo Yee How berkata surat asal mengenai pemakluman itu sebenarnya menggunakan bahasa Melayu.

Katanya, surat dalam bahasa Cina dan Inggeris yang beredar itu hanyalah "salinan" di samping surat utama dalam bahasa Melayu (bawah).



Persatuan Penulis Nasional (PENA) turut menyelar pengabaian terhadap bahawa kebangsaan dengan menyifatkannya sebagai "kebiadaban yang perlu dihapuskan".

Bekas menteri besar Johor Datuk Seri Khaled Nordin turut berkongsi surat kontroversi itu di media sosial dan meminta orang ramai tidak melayan surat-menyurat yang tidak menggunakan bahasa Melayu.

Sementara itu, Tuanku Sultan Ibrahim bertitah semua pihak harus menghormati penggunaan bahasa Melayu yang telah diguna pakai sejak dahulu di Johor.

“Saya sarankan kepada ahli majlis, jika tidak tahu buat kerja baik letak jawatan sahaja.

“Ini amaran saya, jangan pisang berbuah dua kali,” titah baginda.

Isu surat menggunakan bahasa Cina bukanlah kali pertama menjadi bahan kecaman terhadap kerajaan.

Terdahulu Menteri Kewangan Lim Guan Eng menjadi sasaran kutukan kerana mengeluarkan kenyataan dalam bahasa Cina sahaja.
Share this post :

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Template | Master Template
Copyright © 2018. Reformasi Kini - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Master Template
Proudly powered by Blogger