Headlines News :
Home » » Sekolah Palestin bakal ditutup lagi

Sekolah Palestin bakal ditutup lagi

Written By Reformis on Wednesday, September 26, 2018 | 11:59 AM


NEW YORK 25 Sept. – Sekolah dan pusat kesihatan di Pa­lestin tidak lagi mampu beroperasi jika gagal memperoleh pembiayaan berjumlah AS$185 juta (RM764.1 juta) sehingga hujung tahun ini, kata Agensi Kerja dan Bantuan Pelarian Palestin Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA).

Pesuruhjaya Besar UNRWA di sini, Pierre Krahenbuhl berkata, wang yang ada di dalam bank hanya boleh bertahan sehingga pertengahan bulan depan.

“Jelas sekali, kami perlukan kira-kira AS$185 juta bagi memastikan semua perkhidmatan, sistem pendidikan, penjagaan kesihatan, perkhid­matan sosial dan bantuan serta tugas-tugas kecemasan terutama di Syria dan Gaza boleh diteruskan sehingga hujung tahun ini,’’ katanya ketika menghadiri perhimpunan agung tahunan PBB, semalam.

Pada bulan lalu, Amerika Syarikat (AS) menggantung bantuan kepada UNRWA sambil menggelarkannya sebagai ‘operasi yang teruk’, keputusan yang menambah ke­tegangan antara kepemimpinan Palestin dan pentadbiran Presiden Donald Trump.

UNRWA memberi perkhidmatan kepada kira-kira lima juta pelarian Palestin di seluruh Jordan, Lebanon, Syria dan Tebing Barat termasuk Gaza.

Kebanyakan pelarian adalah 700,000 penduduk Palestin yang diusir dari kediaman ma­sing-masing atau melarikan diri semasa perang pada 1948 yang membawa kepada pembentukan negara zionis Israel.

Duta AS ke PBB, Nikki Haley mempersoalkan ‘hak kembali’ ke Israel yang dituntut oleh penduduk Palestin sebagai sebahagian daripada penyele­saian damai.

“Apabila kamu gagal mena­ngani punca konflik yang berlanjutan ini, maka kamu melihat UNRWA masih kekal sejak 70 tahun ini. Bukan kerana UNRWA mempertahankan dirinya tetapi masyarakat pelarian masih menunggu penyelesaian politik,’’ kata Krahenbuhl.

Dalam perkembangan lain, tentera Israel mendakwa bedah siasat terhadap seorang lelaki Palestin, Mohammed Khatib, 24, yang meninggal dunia semasa ditangkap menunjukkan kematiannya bukan berpunca daripada dipukul oleh anggota tentera tetapi punca sebenar masih belum dipasti.

Mohammed ditahan dalam serbuan di Beit Rima, Tebing Barat pada 18 September lalu manakala Jawatankuasa Hal Ehwal Banduan Palestin memaklumkan keputusan awal bedah siasat pada Ahad lalu menunjukkan mangsa telah dipukul.

Dalam pada itu, seorang lelaki Palestin, Mohamed Abu Saek, 21, mati ditembak tentera Israel dalam pertempuran terbaharu di sempadan Semenanjung Gaza, semalam. – REUTERS/AFP
Share this post :

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Template | Master Template
Copyright © 2018. Reformasi Kini - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Master Template
Proudly powered by Blogger