PAS mesyuarat malam ini letak calon atau tidak di Port Dickson
Written By Reformis on Wednesday, September 26, 2018 | 2:47 PM
Kepimpinan pusat PAS akan berkumpul di Kuala Terengganu malam ini bagi membincangkan sama ada akan bertanding dalam PRK Port Dickson atau tidak.
Perkara itu disahkan Menteri Besar Terengganu merangkap Pengarah Pilihan Raya PAS Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
"(PAS) akan adakan mesyuarat pada malam Rabu (hari ini) untuk bincangkan perkara ini, kepimpinan pusat akan datang ke Kuala Terengganu.
"Kita akan maklumkan keputusan sama ada tengah malam atau pagi keesokannya melalui siaran media," katanya menerusi rakaman video yang dimuat naik di laman rasmi Facebooknya.
Ketika ditanya tentang pandangannya sendiri berhubung keperluan PAS untuk bertanding, Samsuri berkata kedua-duanya - sama ada bertanding atau tidak - mempunyai pro dan kontra masing-masing.
"Lebih baik saya tidak melangkaui (pimpinan lain) kerana ini bukan keputusan seorang tetapi keputusan (melalui) mesyuarat," katanya lagi.
Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan Mustaffa Daharun sebelum ini berkata PAS tidak perlu bertanding dalam PRK itu dan akan menyampaikannya kepada kepimpinan pusat.
Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi - yang sebelum ini berkata tidak akan membiarkan Datuk Seri Anwar Ibrahim menang percuma - pula berkata keputusan parti akan mengambil kira pandangan PAS Negeri.
"Kita akan tengok pandangan semua pihak khususnya (PAS) negeri," katanya lagi menerusi rakaman video di laman rasmi Facebooknya.
Setakat ini BN sudah membuat keputusan untuk tidak meletakkan calon tetapi Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan beberapa calon Bebas mungkin akan bertanding.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 29 September ini sebagai penamaan calon dan 13 Oktober untuk hari mengundi.
Post a Comment